UCAPAN SULONG MB TERENGGANU

*UCAPAN SULONG MB TERENGGANU*
************************************

MB Terengganu minta rakyat tegur

11 MEI 2018

MARANG – Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan jawatannya adalah satu jawatan sangat ‘berat’ dan tidak mampu dipikul tanpa adanya kerjasama dan bantuan daripada rakyat.

Malah katanya, tugas berat turut dipikul ketua parti pelbagai peringkat, Adun, Exco serta Ahli Parlimen di negeri itu yang memerlukan bimbingan daripada rakyat bagi mendapat keredaan ALLAH.

“Semua di antara kami yang dipilih sebagai pemimpin kerajaan negeri Terengganu memerlukan bimbingan daripada tuan- tuan sekiranya kami benar, kami betul maka ikutilah kami.

“Sekiranya kami salah maka tegurlah, bantulah dan bimbinglah kami kerana matlamat kita ialah ingin mencapai ‘martotillah’. Matlamat kita ialah kita ingin bertemu dengan ALLAH dalam keadaan kita reda kepada ALLAH dan ALLAH reda kepada kita,” katanya yang muncul dikhalayak buat kali pertama selepas dilantik menjadi Menteri Besar.

Beliau berucap di hadapan ribuan hadirin selepas berakhirnya kuliah pagi disampaikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Beliau berkata, ada beberapa perkara yang ingin kerajaan negeri laksanakan selain akan mencari jalan dengan sesungguhnya bagaimana untuk melaksanakan Manifesto Pas Negeri Terengganu.

“Semuanya ada jalan, ada cara dan boleh dicapai sekiranya semua diantara kita ini, kita berkerja bersama sama untuk menjayakan manifesto telah dirangkakan di peringkat negeri Terengganu.

“Yang pertamanya kita ingin membina hidup rakyat dengan membangunkan jati diri keimanan pemimpin dan rakyat melalui pendekatan kehidupan mengamalkan agama dalam kehidupan kita,” katanya.

Yang kedua, katanya, kerajaan negeri ingin melaksanakan pentadbiran yang memberi khidmat terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik, latar belakang, kecil atau besar, tua atau muda dengan berkonsepkan adil untuk semua.

“Ketiga, kita (juga) ingin mencari jalan penyelesaian di atas kelemahan salah urus pentadbiran kerajaan yang lalu. Yang keempat, kita ingin membawa agenda perkongsian ekonomi dengan rakyat.

“Ini kerana ekonomi dijana oleh kerajaan negeri dengan pelbagai cara sekiranya kita tidak atur dengan berkesan ia tidak akan sampai kepada rakyat.

“Yang kelima, kita ingin membawa negeri Terengganu yang kita kasihi sebagai negeri model yang bersih, maju dan berkat serta sejahtera,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan dengan pelbagai cara termasuk melalui pendekatan undang undang, pendekatan secara ilmiah untuk mendapatkan kembali royalti minyak negeri Terengganu.

“Juga mendapatkan hasil dari telaga minyak Bertam yang telah dihilangkan dan ditiadakan dari kewangan kerajaan negeri,” katanya yang mengakhiri ucapan dengan berterima kasih kepada seluruh rakyat Terengganu.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/terengganu/mb-terengganu-minta-rakyat-tegur-1.833253